KEPALA BATAS: Calon gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengakui ‘belajar’ daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketika itu, kata Reezal Merican yang juga bekas menteri Kabinet, beliau cuba untuk membuat ‘sentuhan’ dengan seramai mungkin pengundi di Kepala Batas.
Bagaimanapun, katanya, ramai dalam kalangan pengundi ketika itu tidak ‘tetap pendirian’ kerana kerap bertukar sokongan kepada beliau dan parti lawan khususnya Perikatan Nasional (PN).
“Jadi, saya fikir, perlunya untuk membuat kesinambungan daripada ‘sentuhan-sentuhan’ ini pada PRN (Pilihan Raya Negeri) ini pula menjelang hari pengundian nanti (Sabtu ini),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada sesi ‘walkabout’ di sekitar pekan lama Kepala Batas bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berharap calon yang dipilih oleh pengundi Sabtu ini benar-benar layak kerana kehadiran pengundi yang ramai.
“Bagi saya, kalah atau menang bukan soalnya jika kemenangan (seseorang calon itu) ditentukan oleh peratusan keluar mengundi yang rendah.
“Justeru, saya berharap proses demokrasi ini dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh para pengundi dengan menghadirkan diri seramai mungkin (untuk keluar mengundi),” ujar beliau.
Pada PRU-15, Reezal Merican yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas selama dua penggal tewas mengejut kepada calon PN, Dr. Siti Mastura Muhammad yang memperoleh majoriti sebanyak 2,867 undi. – UTUSAN