PRN: Ramai pilih tunai tanggungjawab sebelah pagi

PRN: Ramai pilih tunai tanggungjawab sebelah pagi

ANTARA pengundi terawal yang hadir membuang undi mengikut saluran masing-masing di SK Naka, Padang Terap. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Semangat untuk memastikan kerajaan negeri dibentuk oleh pihak yang amanah dan jujur menjadi antara faktor utama seorang operator mesin keluar awal dari rumahnya untuk menjadi pengundi pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka, di sini.

Menurut Suraidi Abdul Razak, 44, semangatnya untuk mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini cukup berbeza kerana dia selama ini tidak pernah keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Biasanya saya akan bawa ibu dan ayah yang mengundi di tempat lain terlebih dulu sebelum hadir ke sini untuk tunai tanggungjawab saya pula. Tetapi kali ini saya rasa cukup semangat untuk mengundi sehinggakan saya keluar dari rumah seawal 7 pagi dan menjadi pengundi terawal yang masuk ke tempat pengundian.

“Saya bersemangat untuk mengundi bagi mengelak pihak yang tak amanah, tak jujur dan tak betul daripada menjadi kerajaan. Saya gembira kerana sudah selesai menunaikan tanggungjawab ini dan mahu segera pulang membawa ibu mengundi pula,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu seorang warga emas, Teh Hawa Abu Bakar, 71, memaklumkan, dia memilih untuk hadir awal kerana bimbang cuaca hujan pada sebelah petang.

“Kalau dulu semasa sihat, tak perlulah datang awal tetapi apabila sudah berusia dan sakit, kenalah datang awal supaya tak perlu berebut dengan orang,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid turut hadir menunaikan tanggungjawab mengundi di sekolah sama bersama isterinya, Bushra Mazani.

SK Naka merupakan satu daripada pusat pengundian melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu yang menyaksikan pertembungan antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan penyandang dari Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radzi Md. Amin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd. Radzi menang dengan majoriti 670 undi menewaskan calon BN ketika itu, Kama Noriah Ibrahim serta Hashim Idrus dari PKR. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya