GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin parti itu di Pulau Pinang yang diketuai Chow Kon Yeow akan mendapat mandat dan sokongan penuh daripada pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau juga percaya kebangkitan dan kesedaran orang Melayu untuk bersama-sama perjuangan PH akan bermula di Pulau Pinang.
Beliau mengambil contoh perjuangan kesedaran dan reformasi orang Melayu turut bermula di negeri itu termasuk pada 2008 yang menyaksikan mereka pertama kali mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Kesedaran orang Melayu bermula di Pulau Pinang, kebangkitan rakyat dengan kemenangan Pakatan Rakyat waktu itu (2008) juga di Pulau Pinang.
“Jadi pastikan kita kekalkan kekuatan kita, ‘based’ (asas) kita dan ‘leadership’ (kepimpinan) kita dari segi kesedaran rakyat untuk membawa perubahan di negara ini.
“Saya sangat optimis sekali tentang masa depan Pulau Pinang dan saya percaya dengan kedudukan saya di Putrajaya, saya akan berikan perhatian kepada Pulau Pinang.
“Sebab itu bila sebut keperluan transit aliran ringan (LRT) dan pembesaran lapangan terbang, kerana hubungan baik kerajaan negeri dengan Persekutuan, maka kita luluskan,” katanya ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di sini, malam ini.
Menurut Anwar, keyakinan terhadap kebangkitan sokongan orang Melayu terhadap PH di Pulau Pinang itu sekali gus menjawab kebimbangan terhadap fenomena gelombang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menjelaskan lebih lanjut, tambah Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), orang Melayu juga tidak lagi percaya dengan propaganda kononnya kerajaan Pusat di bawah pentadbiran PH akan mengabaikan orang Melayu dan Islam serta memperjuangkan agenda seperti LGBT dan sebagainya.
Sebaliknya, kata beliau, orang Melayu sudah diyakini dengan segala usaha dilakukan kerajaan PH dalam tempoh lapan bulan mentadbir Kerajaan Pusat sejak PRU-15 dalam memastikan kestabilan politik dan meningkatkan semula ekonomi negara.
Dalam pada itu, jelas beliau, PRN kali ini adalah permulaan kepada negara untuk membentuk asas baharu dan pengundi tanpa mengira kaum perlu memberi mesej jelas yang mana mereka menolak politik berasaskan perkauman.
“Saya bukan nak menang (PRN) saja, tapi saya nak menang dengan yakin dan majoriti rakyat tolak perkauman dan setiap undi termasuk dari undi Cina sangat kritikal,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pengundi Cina yang mana tanpa sokongan daripada Barisan Nasional (BN), PH tidak mungkin dapat membentuk kerajaan Pusat.
Ujar beliau, sokongan BN juga atas agenda yang sama dengan PH iaitu mahu membentuk kerajaan yang baik, tiada korupsi dan fokus kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan negara. – UTUSAN