SUNGAI PETANI: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Lapangan Terbang, di sini berjalan lancar.
Pusat mengundi awal itu dibuka seawal pukul 8 pagi dengan membabitkan seramai 4,755 pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai.
Sebanyak 12 saluran pengundian dibuka bagi memastikan kelancaran proses membuang undi sebelum proses pengundian awal di situ dijangka berakhir sebelum pukul 5 petang.
Tinjauan mendapati rata-rata anggota tentera dan pasangan hadir lebih awal dan secara serentak untuk membuang undi.
Malah, suasana di luar kawasan kem terbabit juga mendapati suasana meriah dengan gelagat penyokong parti masing-masing.
Sementara itu, di pusat mengundai awal Sekolah Latihan Asas Kepolisian (SLAK), di sini, seramai 462 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hadir menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih calon bagi kerusi DUN Bukit Selambau.
Sebanyak tiga saluran pengundian dibuka di SLAK dan prosesnya turut dijangka berakhir awal memandangkan pegawai dan anggota polis hadir secara bergilir-gilir membuang undi.
Turut membuang undi di SLAK adalah 32 anggota polis yang bertugas di Balai Polis Merbok dan Tanjung Dawai di bawah DUN Tanjung Dawai. – UTUSAN