KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menerima empat laporan berhubung penyalahgunaan nama dan kad pengenalan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, laporan diterima pihaknya membabitkan tiga kes di daerah Kuala Terengganu dan satu di Marang.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan empat individu tidak dibenarkan mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila maklumat peribadi mereka sudah digunakan pihak lain.
“Kami ada menerima laporan sebanyak empat kes melibatkan empat individu yang mendakwa tidak dapat mengundi kerana maklumat kad pengenalan mereka digunakan orang lain.
“Sehubungan itu polis akan membuka kertas siasatan untuk disiasat mengikut Seksyen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, Mazli memberi amaran kepada penyokong parti politik agar tidak melakukan sebarang bentuk perarakan selepas keputusan PRN diumumkan, malam ini.
Beliau menegaskan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ada penyokong parti politik melanggar peraturan dan menganggu ketenteraman awam.
“Sepanjang hari pengundian ini didapati situasi tenang dan terkawal tanpa kejadian tidak diingini dan saya ingin menasihatkan orang ramai agar kekal mematuhi peraturan.
“Menjelang pengiraan undi nanti dan pengumuman keputusan malam ini, jangan pula ada yang membuat kekacauan atau berarak sehingga menganggu lalu lintas,” tegasnya. – UTUSAN