GEORGE TOWN: Polis memantau rapi aktiviti perjudian membabitkan pertaruhan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin aktiviti itu dikesan dilakukan dalam skala kecil dan tidak melibatkan mana-mana sindiket.
”Setakat ini kita monitor (pantau), ada (aktiviti judi pilihan raya) bukan melalui sindiket, secara kecil-kecilan itu ada.
”Mereka bertaruh siapa menang dan siapa kalah, setakat ini tiada tangkapan dilakukan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu, Kok Chin meninjau proses undi awal yang dijalankan di Dewan Mutiara, IPK hari ini.
Dalam pada itu, Kok Chin berkata, setakat ini, jumlah kawasan panas yang dikesan di Pulau Pinang masih kekal dua lokasi iaitu di DUN Permatang Pasir di Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bayan Lepas di Parlimen Balik Pulau.
”Kita akan kekalkan kawalan di kawasan tersebut dan kita lihat tidak ada keperluan setakat ini untuk menambah anggota atau pegawai di sana.
”Setakat ini semua dalam keadaan baik dan lancar serta tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, seramai 6,451 pegawai kanan dan pegawai rendah polis akan melaksanakan undi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.
Kok Chin berkata, seramai 217 pegawai polis telah ditugaskan bagi melancarkan proses pengundian awal hari ini.
”Setakat ini kita boleh lihat proses pengundian awal berjalan lancar dan ramai anggota serta pegawai telah turun mengundi,” katanya. – UTUSAN