PRN: PN beri jaminan batal projek tambak laut jika rampas Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: PN beri jaminan batal projek tambak laut jika rampas Pulau Pinang

DOMINIC Lau ketika menyertai kumpulan nelayan dan NGO membantah projek tambak laut selatan Pulau Pinang dalam sidang akhbar oleh Jawatankuasa Tolak Tambak bersama pemimpin persatuan nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan membatalkan rancangan projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang sekiranya diberikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, pihaknya sejak dahulu konsisten membantah projek tambak laut itu meskipun skop projek berkenaan kini sudah dikecilkan kepada hanya satu pulau.

“Jika mandat diberikan kepada PN dalam PRN ini, kita memang akan terus bantah projek tambak laut ini, satu pulau pun kita tak nak,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN Pusat kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Dominic yang juga calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas turut menyertai sidang akhbar oleh Jawatankuasa Tolak Tambak bersama pemimpin persatuan nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini.

Menjelaskan lebih lanjut, Dominic yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, bantahan PN terhadap projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang itu juga selari dengan tuntutan nelayan negeri itu yang mana kawasan tersebut merupakan lokasi strategik bagi sektor perikanan dan pelancongan.

Jelas beliau, situasi itu bertepatan dengan hasrat pembangunan yang cuba dilaksanakan di Pulau Pinang antaranya memajukan industri pelancongan sekiranya PN berjaya mentadbir negeri itu.

“Kita bukan mahu menghalang pembangunan, tetapi Pembangunan yang dibawa oleh DAP di Pulau Pinang ketika ini adalah hanya membina kondominium dan rumah mewah yang tidak mampu dibeli oleh anak-anak Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan rancangan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau iaitu melibatkan pengurangan 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Rancangan projek itu kini hanya melibatkan pembinaan Pulau A atau ‘Silicon Island’ yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan.

Bagaimanapun, projek PSI itu terus mendapat bantahan majoriti golongan nelayan negeri ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar yang mendesak ia dibatalkan sepenuhnya, bukannya hanya dikurangkan kepada satu pulau.

Sementara itu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut memasukkan pembangunan projek `Silicon Island’ di dalam 16 tunjang manifesto mereka bagi PRN kali ini dengan sasaran menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya