SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sempena pilihan raya negeri (PRN) dengan menghadiri program grand finale atau pecutan akhir di Kedah.
Anwar menyampaikan amanat dalam program bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selain turut dihadiri pimpinan BN serta PH termasuk calon-calon kedua-dua gabungan itu yang bertanding PRN.
Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri menyentuh beberapa perkara antaranya usaha yang dilakukan oleh kerajaan Perpaduan sepanjang lapan bulan mentadbir negara termasuk kenaikan subsidi padi, membela nasib rakyat dan pelbagai bantuan lain yang antaranya mahu menoktahkan kemiskinan tegar.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan keupayaan Menteri Besar di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang ketika ini dalam memajukan negeri masing-masing.
Perdana Menteri juga bertanya kepada hadirin tentang kemampuan pemimpin negeri terbabit untuk menyaingi prestasi ditunjukkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Saya nak tanya menteri-menteri besar di negeri yang diperintah pembangkang, apa yang mereka sudah lakukan untuk selesaikan masalah air dan banjir di Kelantan?
“Apa dilakukan untuk selesaikan masalah kemiskinan di Terengganu, masalah kemiskinan dan pembangunan di Kedah bagaimana pula? Bolehkah saingi pembangunan, prasarana di Pulau Pinang dan Selangor serta perumahan dan projek pembangunan di Negeri Sembilan,” katanya.
Perdana Menteri turut memuji kehadiran luar biasa penyokong PH dan BN ke Padang Eupe, Taman Ria Jaya terutamanya penglibatan anak-anak muda yang menjadi pengundi paling ramai. –UTUSAN