PRN: Perang bendera PN kurang menyengat - Utusan Malaysia

PRN: Perang bendera PN kurang menyengat

BENDERA PN hanya dapat dilihat di beberapa tempat di sekitar kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang pada PRN kali ini berbanding bendera dan poster PH-BN yang menguasai hampir kebanyakan kawasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Meskipun tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah memasuki hari kelima hari ini, namun perang poster dan bendera melibatkan Perikatan Nasional (PN) dilihat sangat hambar dan tidak meriah berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah Balik Pulau misalnya mendapati, pesta poster dan bendera dilihat kurang menyengat kerana boleh dikatakan hanya bendera, poster dan papan iklan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang memenuhi kawasan strategik seperti di persimpangan jalan.

Markas-markas PN yang dijadikan tempat untuk jentera menyimpan bendera dan poster untuk ditampal atau dibahagikan kepada orang ramai juga tidak kelihatan.

Ketiadaan dana kepada calon-calon PN dikatakan menjadi antara punca utama mengapa perang poster PN kali ini ‘sendu’ berbanding PRU-15.

BENDERA PN hanya dapat dilihat di beberapa tempat di sekitar kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang pada PRN kali ini berbanding bendera dan poster PH-BN yang menguasai hampir kebanyakan kawasan.

Difahamkan, dana kepada calon-calon PN tidak dapat disalurkan kerana beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih lagi dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang, Kolonel (B) Muhamad Kassim mengakui beliau dan calon-calon PN lain tidak mendapat dana daripada pimpinan PN Pusat.

Muhamad berkata, beliau terpaksa mencari dana sendiri serta menggunakan wang miliknya untuk mencetak poster, bendera, papan iklan serta menjalankan kempen sepanjang PRN kali ini.

”Memang tidak dinafikan calon-calon PN menghadapi masalah sama iaitu kami tidak mendapat dana dari PN Pusat ketika PRN kali ini kerana akaun parti dibekukan.

”Saya pakai duit sendiri dan cari dana sendiri untuk meneruskan kempen, memang lambat sedikit untuk kita naikkan poster dan pasang bendera pada PRN kali ini kerana kurang dana,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Muhamad, ketiadaan dana itu tidak menjadi penghalang kepadanya untuk meneruskan kempen secara bersemuka dengan pengundi-pengundi di sekitar DUN Telok Bahang.

”Saya tetap bertemu pengundi, malah saya meneruskan kempen di media-media sosial supaya kempen saya dapat mencapai sasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya