GEORGE TOWN: Penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) diseru mengundi kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau juga mengharapkan penyokong BN turut mengundi calon-calon PH yang bertanding kali ini.
”Apa pun falsafah politik kita akhirnya untuk menyatupadukan, memberi kesejahteraan dan menjaga kebajikan rakyat, itu yang kita cuba lakukan di bawah payung Kerajaan Perpaduan ini.
”Jadi atas pertimbangan istimewa ini, kita harap undi daripada penyokong PH dapat diberi kepada calon BN di mana kita tidak bertanding.
”Dalam nada sama di pihak BN pun, kita seru penyokong BN memberi sokongan kepada calon PH di mana BN tidak bertanding,” katanya selepas mengadakan walkabout di Sungai Acheh, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.
PRN Pulau Pinang menyaksikan buat pertama kalinya PH dan BN berkerjasama dalam saingan merebut 40 kerusi DUN yang dipertandingkan dengan BN yang diwakili UMNO akan bertanding di enam kerusi DUN.
Sementara itu, DAP pula akan bertanding di 19 kerusi DUN; PKR (13) dan Parti Amanah Negara (Amanah) di dua kerusi DUN.
Menurut Kon Yeow, adalah penting untuk rintangan psikologi antara penyokong PH dan BN itu dapat dipecahkan pada PRN kali ini memandangkan PH dan BN telah bergabung dan bekerjasama di bawah payung Kerajaan Perpaduan.
”Dalam lawatan ke Sungai Udang ini saya rasa benteng psikologi ini dapat dipecahkan dengan keikhlasan kita untuk memperjuangkan satu pasukan dan Kerajaan Perpaduan.
”Kita perlu bersama-sama menyampaikan mesej ini agar sebahagian rintangan psikologi ini dapat dipecahkan,” katanya.
Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP berkata, tempoh kempen yang berbaki lapan hari lagi kini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyemai pemahaman baharu dalam kalangan penyokong tentang kerjasama PH-BN di bawah payung perpaduan.
”Kita tahu sama-sama susah untuk PH dan BN untuk menyakinkan pengundi yang selama ini setia pada perjuangan kita untuk memujuk pengundi memberi undi kepada parti yang lain.
”Saya percaya tidak ada parti politik yang melaungkan yang ia berjuang untuk rakyat dan mahu pecah-belah berlaku dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN