PERMATANG PAUH: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini menarik perhatian ramai.
Anwar dan isteri tiba di pekarangan sekolah itu pada pukul 9.33 pagi dan disambut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin serta Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San.
Orang ramai turut tidak melepaskan peluang merakamkan gambar malah ada beberapa pengundi bertuah berswafoto bersama selepas pasangan itu selesai mengundi.
Anwar turut dilihat bertanya khabar beberapa rakan lama yang ditemuinya di pusat mengundi terbabit.
Salah seorang pengundi, Salmiah Ibrahim, 54, berkata, ini kali pertama beliau melihat Anwar dan isteri secara dekat.
“Walaupun hanya nampak kelibat, pun saya dah cukup teruja sebab memang tak sangka akan datang ke sini sama waktu dengan PM dan isteri.
“Memang seronok lah bila melihat pemimpin yang berjiwa rakyat meluangkan masa beramah mesra bersama pengundi di sini,” katanya.
Pusat pengundian SK Penanti itu melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), Muhammad Faiz Fadzil yang akan menentang calon Perikatan Nasional (PN), Amir Hamzah Abdul Hashim (Pas) dengan seramai 30,464 pemilih berdaftar.
Muhammad Faiz (PKR) kali ini akan mempertahankan DUN yang dimenanginya Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu dengan majoriti 2,981 undi dalam persaingan tiga penjuru.
Beliau yang memperoleh 9,708 undi ketika itu menewaskan calon Pas, Muhammad Fauzi Yussof yang mendapat 6,727 undi serta calon BN, Anuar Faisal Yahaya (4,979 undi).