PRN: Pengundi Perai terima kehadiran saya dengan baik - Sundarajoo - Utusan Malaysia

PRN: Pengundi Perai terima kehadiran saya dengan baik – Sundarajoo

S. SUNDARAJOO (tengah) ketika berkempen bertemu pengundi di Chai Leng Park, Perai, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: “Walaupun saya merupakan calon baharu, namun penerimaan penduduk serta pengundi di Perai terhadap kehadiran saya sangat baik. Tidak ada sebarang masalah.”

Itu kata calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Datuk Seri S. Sundarajoo.

Menurut ahli perniagaan berusia 61 tahun itu, sejak penamaan calon sehingga kini, beliau telah turun padang berkempen setiap hari dan telah berjumpa ribuan pengundi serta warga Perai secara bersemuka khususnya di kawasan yang paling ramai pengundi.

“Penerimaan memang bagus kerana mereka (pengundi) tahu, rekod (PH khususnya DAP ketika mentadbir Perai) sebelum ini telah ada.

“Jadi, sambutan itu memang baik dan saya percaya, mereka yang mahu memilih kerajaan yang baik, pastinya akan memilih parti yang kukuh iaitu PH,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau ditemui ketika mengikuti program Ramah Mesra Bersama Komuniti Tempatan Perai yang turut disertai Ahli Parlimen Bukit Bendera daripada DAP, Syerleena Abdul Rashid di sebuah restoran nasi kandar di Chai Leng Park, Perai di sini.

Pemilihan Sundarajoo sebagai calon DAP untuk kerusi DUN Perai sebelum ini dilaporkan tidak disenangi oleh pengikut bekas Timbalan Ketua Menteri II, yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan, Dr. P. Ramasamy.

Malah, isu itu berlarutan sehingga ada yang mengambil langkah drastik meninggalkan parti dan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, anak kelahiran Selangor yang telah menetap di Pulau Pinang selama sembilan tahun itu berkata, meskipun diletakkan bertanding di kerusi agak ‘panas’, namun belum ada sebarang kempen berbentuk provokasi terhadapnya setakat ini.

“Kita (PH) pun ada strategi dan akan cuba untuk mengelak daripada bertembung dengan kem lawan ketika berkempen sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak baik.

“Politik ini seperti permainan bola sepak di atas padanglah. Pasti ada pelanggaran atau perselisihan tapi tidaklah sampai bergaduh besar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang akan mengundi di Pulau Pinang buat kali keempat turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya merupakan calon ‘payung terjun’ iaitu calon luar yang dibawa ke Perai semata-mata untuk bertanding pada PRN.

Tambah Sundarajoo, andai terpilih sebagai wakil rakyat, beliau berhasrat untuk meneruskan projek-projek penting yang tidak sempat dihabiskan oleh Ramasamy serta merangka beberapa projek lain yang bermanfaat untuk rakyat.

Pada masa sama, kata beliau, isu penempatan semula penduduk Kampung Manis juga akan menjadi agenda utamanya selain isu rakyat seperti kesesakan trafik, longkang tersumbat akibat banjir dan sebagainya.

Sundarajoo berdepan saingan empat penjuru pada PRN ini yang turut membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), R.Sivasuntaram; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), H. Vikneswary serta David Marshel yang bertanding sebagai calon Bebas dengan menggunakan logo pokok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya