TASEK GELUGOR: Pas boleh memilih untuk menjadi ‘yes man’ kepada DAP dan membentuk kerajaan Pusat bersama parti itu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, sebagai sebuah parti yang berprinsip, Pas memilih untuk tidak lagi menjalin kerjasama dengan DAP selepas perkara tersebut diputuskan secara kolektif dalam Majlis Syura Ulamak.
“Kita tahu masa kita masuk PRU-14 itu, kita dah ‘ready’ (bersedia) untuk kalah. Jadi, biar kita ‘kalah tidak rebah, menang tidak megah’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua, di sini malam tadi.
Jelas Idris, berbeza dengan UMNO, kerjasama antara Pas dengan DAP sebelum ini adalah berteraskan ‘smart partnership’ atau kerjasama pintar yang membabitkan isu tertentu sahaja.
“Ia (satu kerjasama) bersyarat iaitu jangan ganggu prinsip yang Pas mahu bawa dan kita juga tahu dia (DAP) punya dasar dan sebagainya.
“Namun, apabila sampai ke tahap (prinsip) Pas pun kamu mahu ganggu, kita pilih untuk ‘withdraw’ (tarik diri daripada menjalin kerjasama politik),” ujar beliau.
Dalam perkembangan berasingan, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai optimis Pas dan Perikatan Nasional (PN) dapat mengulangi kemenangan ketika PRU-15 yang lalu khususnya di tiga kawasan Parlimen iaitu di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Insya-Allah, dengan ‘mood’ yang ada ketika ini, kita mengharapkan agar momentum ini (kemenangan) dapat dikekalkan sehingga 12 Ogos ini,” ujar beliau. – UTUSAN