PRN: Pas Pulau Pinang akan 'murnikan' hubungan dengan Dominic - Utusan Malaysia

PRN: Pas Pulau Pinang akan ‘murnikan’ hubungan dengan Dominic

MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pas Pulau Pinang akan berusaha untuk ‘memurnikan’ hubungan antara ahli serta penyokong mereka dengan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang dipilih menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Bayan Lepas.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, Pas negeri juga akur dengan arahan Pas Pusat supaya semua ahli menyedari bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN.

Katanya, Pas negeri akan bertemu dengan semua ahli Pas kawasan setempat, masyarakat sekitar dan sebagainya untuk menerangkan situasi berkenaan.

“Kita akan berusaha untuk murnikan keadaan (hubungan Pas dengan Dominic), kita kena berjumpa dan usahakan dengan cara cermat.

”Murnikan keadaan itu macam kita akan bertemu dengan semua ahli, masyarakat akan pastikan semua benda dengan baik. Kita tengok cara macam mana akan bincang, tengok apa yang sesuai dengan keadaan dan apa yang Pas Pusat arahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, tular video di media sosial yang mendakwa Dominic ‘dihalau’ dan diminta meninggalkan ceramah mega ‘PN Best’ yang dianjurkan oleh Pas di Sungai Dua, Selasa lalu.

Ceramah mega itu menampilkan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang yang juga calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar.

Susulan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan membuat permohonan kepada Dominic dan menjelaskan, Pas Pusat tidak merestui insiden berkenaan.

Tambah Takiyuddin, pemilihan Dominic sebagai calon PN di DUN Bayan Lepas adalah melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, sekali gus semua ahli dan penyokong perlu menerimanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, salah satu petanda ahli Pas akur dengan arahan dan ketetapan yang dibuat oleh Pas Pusat ialah tidak ada ahli yang memilih bertanding sebagai calon Bebas pada PRN kali ini.

”Kita akur dan tidak bertanding Bebas, itu maknanya kita akur dan telah memberi ruang kepada Dominic,” katanya.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai jentera Pas yang dikatakan tidak turun bersama membantu kempen Dominic di DUN Bayan Lepas, Muhammad Fauzi berkata, tidak timbul isu Pas memboikot kempen Dominic di kawasan tersebut.

“Sekarang masing masing bertanding kena bawa jentera masing-masing, jadi Dominic kena bawa jentera dia.

”Kita pun tidak cukup (jentera), malah jentera kita sebenarnya ada kawasan yang kena bantu juga, jadi siapa yang bertanding dia kena ketuai jentera di situ dan bawa jentera masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya