PRN: Nurul, Noh undi di lokasi sama - Utusan Malaysia

PRN: Nurul, Noh undi di lokasi sama

Nurul Permatang
NURUL Syazwani dan Noh menunjukkan jarinya selepas selesai mengundi dekat SK Sungai Burong, Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Permatang, Nurul Syazwani dan bapanya, Tan Sri Noh Omar mengundi di lokasi sama di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Tanjong Karang di sini, hari ini.

Turut mengundi, isteri Noh, Puan Sri Dr. Aishah Salleh dan suami Nurul, Hisyam Hedzril Nor Hashim. Empat sekeluarga itu tiba secara serentak di pusat pengundian berkenaan, kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.

Nurul Syazwani, 35, yang juga Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang berkata, beliau bersyukur dapat melunaskan tanggungjawab itu dengan tiga ‘tulang belakang’ yang setia bersamanya selama ini.

“Saya sudah melakukan sebaik mungkin sepanjang tempoh berkempen dan menyerahkan sepenuhnya kepada pilihan pengundi yang diharap memihak kepada PN.

“Selain itu, saya memohon maaf kepada semua pihak jika melakukan kesilapan dan terkasar bahasa sebelum ini,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan sekolah itu.

Sementara itu, Noh memaklumkan, beliau berterima kasih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melaksanakan tugas dengan amat sistematik dan lancar.

“SK Sungai Burong ini sememangnya sekolah saya sejak Tahun Satu dan menjadi tempat pengundian saya sejak sekian lama. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan pengundi terutama warga emas dilayan sebaik mungkin,” katanya.

Tinjauan mendapati pusat mengundi itu mula dipenuhi sejak pukul 7.30 pagi dan proses pengundian berjalan lancar serta terkawal setakat ini.

Pencabar kerusi DUN itu, Mohd. Yahya Mat Sahri atau Pak Ya dari Pakatan Harapan (PH) pula melaksanakan tanggungjawab berkenaan di SK Seri Tiram.

Kerusi yang turut menjadi tumpuan itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Berdasarkan rekod SPR, Permatang mempunyai 30,793 pengundi biasa, tiga pengundi luar negara dan tiada pengundi polis. Kawasan itu juga mempunyai seramai 23,199 pengundi dewasa, 5,746 pengundi warga emas dan 1,851 pengundi belia.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan  Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya