PRN: Nor Hafizah mahu perkasa sektor pertanian, ekonomi, kebajikan di DUN Permatang Berangan - Utusan Malaysia

PRN: Nor Hafizah mahu perkasa sektor pertanian, ekonomi, kebajikan di DUN Permatang Berangan

NOR HAFIZAH Othman (tengah) ketika menyertai penduduk menyediakan bubur Asyura di Kampung Labuk Banting dalam siri jelajah kempennya dekat Kubang Semang, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan daripada Barisan Nasional (BN), Nor Hafizah Othman mahu memperkasa beberapa aspek pembangunan masyarakat di kawasan jika diberi mandat buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau yang merupakan Ketua Wanita UMNO negeri berkata, aspek pembangunan masyarakat yang dilihat perlu diberi penekanan khusus meliputi bidang pertanian, ekonomi serta kebajikan rakyat.

“Sepanjang berkempen, saya dapat banyak maklum balas daripada masyarakat setempat yang merujuk kepada keperluan asas termasuk bantuan-bantuan pembangunan ekonomi, sara hidup selain golongan peniaga yang memerlukan bantuan dana untuk tambahan modal perniagaan.

“Bagi kelompok kecil seperti pekebun pula memerlukan bantuan subsidi daripada agensi tertentu seperti bantuan pembelian racun, benih, baja dan lain-lain keperluan dalam bidang pertanian,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada siri jelajah kempen di Kampung Labuk Banting, dekat Permatang Berangan, di sini semalam.

Katanya, beliau turut mengambil maklum harapan kelompok pesawah yang menginginkan penambahbaikan dari segi kaedah tertentu yang boleh dikaji oleh agensi terlibat bagi meningkatkan produktiviti dalam industri asas tani setempat.

“Contohnya tanaman padi kebiasaannya dua tahun lima musim. Mungkin ketika musim hujan atau panas ada kaedah tertentu yang boleh dikaji oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan sebagainya yang difikirkan bersesuaian.

“Mungkin pada musim panas, (bekalan) airnya lebih atau musim hujan memerlukan baja atau benih yang berlainan. Jadi, itulah pandangan yang kita dapat daripada kelompok tani dan juga beberapa pengusaha pertanian di sini,” katanya.

NOR HAFIZAH Othman (tudung biru) beramah mesra dengan penduduk Kampung Labuk Banting dekat Kubang Semang, Pulau Pinang ketika ditemui pada siri jelajah kempennya semalam.

Nor Hafizah yang juga merupakan penyandang bagi kerusi DUN tersebut sejak 2018 berkata, beliau juga akan turut memperkasakan golongan usahawan bagi memastikan ekonomi golongan itu terus terbela.

“Jika diberi mandat sekali lagi, sudah tentu kita nak rancakkan pembangunan ekonomi setempat dengan mewujudkan lebih banyak pembangunan seperti tapak perniagaan yang lebih baik yang dapat menarik penduduk di kawasan ini.

“Malah, sekiranya saya berada dalam kerajaan negeri, lebih mudahlah kita nak bantu rakyat di kawasan ini melalui penambahan ekonomi, perumahan dan pendidikan .

“Selain itu, kebajikan dan pembelaan kepada wanita dan keluarga termasuk golongan ibu tunggal dan ibu tinggal iaitu mereka yang digantung suami tidak bertali juga menjadi keutamaan saya,” katanya.

DUN Permatang Berangan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nor Hafizah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Sobri Saleh (Pas) dengan pengundi seramai 28,519 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya