PRN: Menang DUN Seberang Jaya cerahkan peluang PH pertahan Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: Menang DUN Seberang Jaya cerahkan peluang PH pertahan Pulau Pinang

SAIFUDDIN NASUTION Ismail (kanan) bersama Johari Kassim (tengah) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim ketika menghadiri program Santai Anak Muda Perpaduan N10 Seberang Jaya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya penting untuk dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti kerana ia akan mencerahkan peluang Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerajaan Pulau Pinang yang dimenangi sejak 2008.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu, Seberang Jaya juga terkenal sebagai kawasan yang subur dengan semangat yang mencetuskan reformasi sebelum ini.

“Jadi, apabila Presiden (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kepercayaan kepada sahabat saya, Johari Kassim untuk menjadi calon di sini (kerusi DUN Seberang Jaya) sudah tentu ia sangat membanggakan saya kerana saya kenal ‘watak’ ini dan kualiti yang ada padanya.

“Justeru, jika penduduk dan pengundi di Seberang Jaya boleh beri sokongan kepada beliau, saya yakin Johari boleh menjadi wakil (rakyat) yang baik di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada program santai Anak Muda Perpaduan N10 Seberang Jaya di Bandar Perda di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Johari, 62, yang sebelum ini bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Saifuddin di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin mendapat sokongan daripada majoriti pengundi di Seberang Jaya termasuk generasi muda.

“Saya pernah menjadi Ahli Majlis MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) selama lima tahun (2008 hingga 2013) dan banyak khidmat saya di Seberang Jaya ini,” ujarnya.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pemuda UMNO cawangan suatu ketika dahulu turut berbangga kerana kini menerima sokongan padu daripada bekas partinya itu walaupun kini menyertai PKR.

“Saya yakin dengan sokongan kuat daripada anak-anak muda UMNO ini, kita mampu untuk menang di Seberang Jaya,” katanya yang berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam arena politik.

Kerusi DUN Seberang Jaya sebelum ini disandang oleh Dr. Afif Bahardin daripada PKR sebelum ‘dikosongkan’ selepas beliau ‘lompat parti’ dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Lawan Johari untuk kerusi tersebut pada PRN ini ialah wakil Bersatu, Izhar Shah Arif Shah yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN