GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow malam ini mengumumkan kejayaan PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.
Menurut Kon Yeow, ia selepas gabungan PH-BN itu berjaya memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi keputusan rasmi dan tidak rasmi setakat pukul 10 malam ini.
Jelas beliau, 29 kerusi DUN PH-BN itu disumbangkan menerusi calon DAP yang menang di 19 kerusi; PKR (7); BN (2) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menang satu kerusi.
“Maka dengan ini, sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang telah menang 29 kerusi (DUN) dan ini bukan sahaja cukup untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (kerajaan negeri) tetapi juga mencapai majoriti dua pertiga kerusi yang berjaya dimenangi,” katanya ketika berucap di pusat penjumlahan undi PH-BN di sini malam ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau yang mempertahankan DUN Padang Kota akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua esok bagi mewakili kerajaan negeri baharu seperti mana yang diputuskan oleh pimpinan PH sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata, PH akan menilai keputusan PRN kali ini dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan dapat benar-benar memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat Pulau Pinang
“Masa depan masih penuh dengan cabaran dan kita ikrar akan lihat keputusan (PRN) dan buat penganalisaan dan baiki apa yang ada kelemahan-kelemahan supaya Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan ini benar-benar dapat memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat di Pulau Pinang ini,” katanya. – UTUSAN