GEORGE TOWN: Bekas ahli DAP yang kini bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Bagan Dalam, M. Satees menegaskan beliau tidak menentang DAP dan calon-calon Pakatan Harapan (PH) lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sebaliknya, Satees yang juga penyandamg kerusi itu berkata, fokusnya hanya untuk menyelamatkan Pulau Pinang dari seorang individu yang digelar ‘maharaja’ dan calon-calon kroninya pada PRN ini.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Jason H’ng Mooi Lye yang mendakwa seolah-olah bekas ADUN DAP telah mengkhianati parti itu.
”Yang pasti, mereka (DAP) sedang dikongkong oleh seorang ‘maharaja’ yang sedang mengkhianati rakyat Pulau Pinang dan parti itu sendiri, tetapi mereka tidak berani melawan ‘orang’ itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hari ini, Jason berkata, DAP Pulau Pinang kesal dengan tindakan seorang bekas ahli DAP yang kini bertanding sebagai calon yang Bebas menggunakan pusat khidmat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengadakan sidang akhbar.
Sebelum ini, Satees mengumumkan keluar daripada DAP dan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Bagan Dalam susulan namanya digugurkan sebagai calon DAP untuk PRN kali ini.
Selain Satees, bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel turut mengumumkan keluar daripada parti itu dan bertanding kerusi DUN Perai sebagai calon Bebas.
Dalam pada itu, Satees turut mengingatkan Jason supaya tidak terbawa-bawa dengan desakan ‘maharaja’ dan membuka satu medan tempur baharu untuknya berkempen.
”Seorang individu sedang memperalatkan kedudukannya untuk memanipulasi parti dengan tujuan menguasai pertadbiran negeri, bertentangan dengan prinsip-prinsip yang telah kita perjuangkan selama ini.
”Tiada siapa dalam DAP berani menegur atau menghalangnya, tetapi tuduh kami yang bersuara sebagai mengkhianati parti,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pemilihan calon-calon DAP bagi PRN baru-baru ini juga telah membelakangkan Jawatankuasa Negeri.
”Majoriti pemimpin parti seperti Jason tidak berani untuk mempersoalkan atau melawan perkara ini semua.
“Tetapi mereka menyatakan kami khianati parti? Mereka harus sedar, merekalah sedang mengkhianati ahli-ahli parti dan rakyat Pulau Pinang dengan berdiam diri tanpa melawan ‘maharaja”,” katanya. – UTUSAN