PRN: Kelantan teruskan bas percuma kepada pelajar balik mengundi

PRN: Kelantan teruskan bas percuma kepada pelajar balik mengundi

Pas
AHMAD Yakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan tetap meneruskan bantuan bas percuma kepada pelajar-pelajar di negeri ini yang berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memudahkan perjalanan mereka balik mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, usaha itu merupakan salah satu bantuan kerajaan negeri kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

“Ini merupakan janji kerajaan negeri kepada rakyat. Sekarang musim cuti dan ramai pelajar akan balik ke kampung. 

“Sekiranya masih ada pelajar berasal dari Kelantan memerlukan bantuan untuk balik menunaikan tanggungjawab mereka maka kita akan teruskan,” katanya pada sidang akhbar selepas Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan: Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah, di sini malam tadi.

Ahmad yang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan turut mempersoalkan tindakan pihak berkenaan yang menganggap bantuan bas percuma kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi pada musim pilihan raya sebagai berunsur sogokan.

“Kenapa tawaran kita kepada rakyat kita baru-baru ini (bantuan bas percuma) tanpa menyebut parti… untuk bawa anak-anak pelajar kita di IPTA balik ke negeri ini untuk mengundi dipertikai?

“Kita tahu mereka ini (pelajar-pelajar) dari kalangan orang susah dan tidak ada duit tetapi mengundi satu kewajipan. Jadi kerajaan negeri sediakan pengangkutan percuma… itu pun dipertikai,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau berharap agar ada garis panduan yang jelas mengenai perkara tersebut bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan-bantuan perlu kepada rakyat pada musim kempen pilihan raya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN