BAYAN LEPAS: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau tidak berkecil hati dengan insiden yang berlaku ketika Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Jalan Permatang Sungai Dua kelmarin.
Dominic yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau menganggap apa berlaku sebagai cabaran dalam dunia politik dan tidak menjejaskan tumpuannya untuk meneruskan kempen bagi memastikan kemenangan PN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.
Katanya, insiden itu juga tidak menjejaskan reputasi beliau sebagai Presiden Gerakan dan barisan kepimpinan tertinggi PN.
”Tidaklah kecil hati, bagi saya, kejadian itu adalah perkara kedua, dalam politik apa sahaja boleh berlaku dan kita kena hadapi pelbagai cabaran.
”Apa yang penting adalah bagaimana untuk mendapatkan keyakinan rakyat untuk membolehkan PN menang,” katanya ketika ditemui di Kampung Bagan, Teluk Kumbar, di sini hari ini.
Sebelum ini, tular video di media sosial yang mendakwa Dominic ‘dihalau’ dan diminta meninggalkan ceramah mega ‘PN Best’ yang dianjurkan oleh Pas di Sungai Dua, malam Selasa lalu.
Ceramah mega itu menampilkan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar.
Mengulas lanjut, Dominic berkata, Ceramah Mega PN Best itu dianjurkan oleh Pas Kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan calon-calon parti Gerakan memang tidak dijemput untuk menyertai ceramah berkenaan.
“Saya tidak kisah tidak dijemput, saya ke sana kerana ingin bertemu dengan Abdul Hadi dan saya sendiri mempunyai program di DUN Bayan Lepas.
”Ketika itu Abdul Hadi datang lewat dan dia perlu terus ke pentas untuk berceramah dan saya pun pulang ke Bayan Lepas untuk hadiri program saya,” katanya.
Tambahnya, beliau menyeru semua pihak untuk bergerak ke depan dan memberi fokus kepada kempen untuk memastikan kemenangan calon-calon PN di kesemua kerusi DUN yang ditandingi.
“Apa sahaja masalah yang dihadapi akan diselesai secara dalaman di peringkat parti komponen PN,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai video tular berkenaan.
”Saya tak mahu komen, nanti jadi tular lagi, saya sudah diarahkan oleh Pas Pusat untuk tidak memberikan apa-apa komen lagi, sekarang ini masa kritikal,” katanya.
Iszuree berkata, dia juga dinasihatkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya meneruskan perjuangan.
”Saya memantau semua DUN yang bertanding, saya sedang membantu kempen-kempen calon Pas yang bertanding dalam PRN di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN