KUALA SELANGOR: Bandar Puncak Alam dikenal pasti ketinggalan dari segi infrastruktur dan prasarana asas seperti balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan meskipun kepadatan penduduk di situ semakin meningkat.
Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Jeram, Datuk Harisson Hassan berkata, beliau berhasrat untuk meningkatkan kemudahan berkenaan serta menambah jumlah sekolah bagi menampung keperluan penduduk di situ.
“Perkara itu dianggap keperluan asas bagi penduduk kawasan tersebut yang hampir 50 peratus merupakan pengundi DUN Jeram. Tidak dinafikan ada infrastruktur asas termasuk jalan raya namun sekolah namun mereka memerlukan balai polis dan bomba selain sekolah baharu.
“Semua itu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan menjadi hasrat untuk mengajukannya jika diberi mandat oleh rakyat kelak,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) di situ, Datuk Jahaya Ibrahim turut memaklumkan hal yang sama untuk memastikan Bandar Puncak Alam tidak ketinggalan dalam memiliki kemudahan awam yang diperlukan.
Selain itu, beliau turut berhasrat menambah lampu-lampu jalan dekat kawasan yang dikenal pasti memerlukannya terutama di sekitar kawasan Kampung Bukit Kuching dan Bukit Hijau.
Dalam pada itu, Harrison yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh itu mengakui dirinya kurang dikenali dan tekad menyantuni semaksimum mungkin pengundi DUN tersebut.
“Pendekatan saya kini sememangnya turun padang menemui pengundi termasuk di Bandar Puncak Alam, berbanding program ceramah. Memang diakui masih ramai tidak mengenali saya lagi tetapi penerimaan mereka dilihat positif setakat ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pengundi kini mahu melihat pembaharuan dan ketelusan terutama melibatkan soal kebajikan.
Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang Jahaya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor. Untuk rekod, DUN Jeram dimenangi Mohd. Shaid Rosli yang memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan calon Pas, Mohd. Nor Mohd. Shahar (4,326) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN