PETALING JAYA: Penjumlahan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula selepas semua pusat pengundian membabitkan enam negeri di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan ditutup pada pukul 6 petang.
Oleh itu, semua kertas undi akan dibawa pusat penjumlahan undi untuk pengiraan oleh para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum diumumkan malam ini.
Proses pengundian pilihan raya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi tadi melibatkan seramai 9,674,456 pengundi manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang.
Sebanyak 3,190 pusat mengundi dan 17,048 tempat mengundi (saluran) dibuka untuk tujuan pengundian serta 153,760 petugas di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan termasuk 1,995 orang bagi Parlimen Kuala Terengganu di 41 buah pusat mengundi yang mengandungi 217 tempat mengundi (saluran).
Tempoh 14 hari berkempen berakhir pada pukul 11.59 malam tadi sejak bermula pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai lalu.
Selepas pusat mengundi ditutup, penjumlahan undi akan dilakukan bagi memuktamadkan sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan pengundi bagi menerajui enam negeri untuk tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN