SHAH ALAM: Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) mengisytiharkan Isnin depan sebagai cuti peristiwa di negeri ini sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pilihan raya esok adalah penting kerana akan menentukan masa hadapan negeri Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Saya mengumumkan sekiranya gabungan Kerajaan Perpaduan berjaya memenangi PRN Selangor pada 12 Ogos ini dan membentuk kerajaan negeri, kita bersetuju untuk isytiharkan cuti peristiwa buat seluruh rakyat Negeri Selangor pada Isnin depan,” katanya ketika menyampaikan amanat khas Menteri Besar Selangor, hari ini.
Seramai 3,747,057 pengundi di Selangor akan keluar mengundi bermula pukul 8 pagi esok bagi menentukan kemenangan calon di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibubarkan pada Jun lalu.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, rakyat mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini atau pun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat harus melaksanakan amanah mengundi ini dengan rasa penuh tanggungjawab.
“Malah (gabungan itu) terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri Selangor, negeri yang kita cintai ini. Kita harus menyingkirkan emosi dan ego ketika memilih pimpinan negeri. Jangan sesekali dipengaruhi rasa benci. Ini bukanlah zero-sum game.
“Janganlah kerana pilihan raya, kita menaruh dendam dan menanam benih kebencian. Janganlah kerana pilihanraya kita suudzon terhadap akidah saudara kita,” jelasnya. – UTUSAN