BUTTERWORTH: Pembangunan kemudahan asas seperti bank menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Mohsein Mohd. Shariff jika dipilih sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Jelasnya, beliau mengambil maklum isu kemudahan asas terutama berkait sektor perbankan menjadi isu yang sudah lama membelenggu penduduk Telok Ayer Tawar.
“Di kawasan Telok Ayer Tawar ini memerlukan kemudahan asas (kemudahan perbankan) di mana satu-satunya mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang ada di sini ialah di dalam sebuah stesen minyak (bersebelahan Masjid Daerah Telok Ayer Tawar).
“Jadi, jika dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan membawa pembaharuan dari segi kemudahan asas yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk di Telok Ayer Tawar secara keseluruhannnya,” katanya ketika ditemui selepas program menyantuni penduduk di sekitar Telok Ayer Tawar, di sini semalam.
Tambah Abdul Mohsein, dengan adanya kemudahan bank, masyarakat di situ tidak perlu lagi memandu sehingga ke luar kawasan seperti Kepala Batas dan Bagan Luar sejauh kira-kira 10 kilometer semata-mata untuk menyelesaikan urusan perbankan.
“Pembangunan di Telok Ayer Tawar ini sudah berkembang, jadi ia memang memerlukan satu kemudahan yang penting seperti perkhidmatan perbankan agar masyarakat di sini tidak perlu lagi berulang alik sehingga ke luar kawasan semata-mata untuk menyelesaikan urusan perbankan,” katanya yang juga Pengerusi Biro Keusahawanan PKR Cabang Tasek Gelugor.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap masalah yang disuarakan masyarakat Cina dan India yang menyuarakan isu-isu lebih bersifat tempatan seperti sistem perparitan serta penyelenggaraan yang memerlukan penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Buat masa ini, saya akan berhubung terus dengan Ahli Majlis (Bandaraya Seberang Perai) untuk mengambil tindakan segera selain memohon agar melaksanakan (kerja baik pulih dan penyelenggaraan perparitan) tanpa mengira sama ada dalam tempoh kita berkempen ataupun selepas kita habis kempen,” katanya.
DUN Telok Ayer Tawar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Abdul Mohsein dengan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tasek Gelugor, Azmi Alang dengan jumlah pengundi seramai 24,784 orang. – UTUSAN