SEBERANG PERAI: Calon gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, Johari Kassim mendakwa tidak tahu-menahu mengenai cetakan mirip kertas undi yang didakwa diedarkan di khemah milik PH berhampiran pusat pengundian di kawasan itu.
Beliau ketika dihubungi walau bagaimanapun maklum mengenai perkara itu selepas melihat kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook lawannya iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Izhar Shah Arif Shah.
Katanya, tidak mustahil slip berkenaan dicetak pihak tidak dikenali sebagai panduan buat para pengundi.
“Kalau calon (Izhar Shah) bijak, dia boleh bezakan antara panduan dan kertas undi sebenar. Kalau tak tahu bezakan, bagaimana dia mahu menjadi wakil rakyat?
“Mungkin dia terlalu muda dan tidak dapat membezakan (antara panduan dan kertas undi),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata beliau enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan.
“Saya tak mahu komen mengenai dakwaan ia menyalahi mana-mana akta dan biar undang-undang menentukannya. Malah, dokumen terbabit bukan boleh dibawa masuk ke tempat mengundi.
“Cetakan terbabit bukan saya keluarkan, tak tahu ia datang daripada mana, saya juga akan membuat laporan polis, jika dia (Izhar Shah) fitnah perkara cetakan terbabit sebagai klon slip undi,” katanya.
Terdahulu, Izhar Shah dilaporkan kecewa dengan tindakan PH yang didakwa mengedarkan cetakan kertas menyerupai kertas undi kepada orang ramai.
Dakwanya, cetakan kertas itu diedarkan di barung dan khemah milik PH berhampiran pusat pengundian.
“Saya amat kecewa dan terkilan apabila mendapati ada barung dan khemah milik Pakatan Harapan memiliki atau mengedarkan cetakan berupa kertas undi termasuklah di SK Pauh Jaya.
“Perbuatan kotor ini adalah amat jelas menyalahi Seksyen 3(1)(j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perbuatan itu juga boleh disifatkan sebagai aktiviti berkempen di luar tempoh berkempen yang menyalahi Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Laporan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis akan dilakukan.
“Diharapkan semua penyokong PN termasuklah ejen mengundi dan mengira agar memberi sepenuh perhatian dalam melawan tindakan yang melanggar undang-undang ini,” katanya. – UTUSAN