GEORGE TOWN: Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon dilaporkan pengsan di pusat khidmatnya hari ini.
Makluman mengenai kejadian itu dimuat naik menerusi Facebook rasmi Khai Loon kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari ini.
Kesemua aktiviti Khai Loon yang merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan sepanjang hari ini dibatalkan susulan kejadian berkenaan.
Menerusi komen-komen di laman Facebook, kebanyakan warga maya meminta Khai Loon berehat secukupnya dan menjaga kesihatan sepanjang tempoh berkempen.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, Khai Loon, 45, didapati pengsan di pusat khidmatnya kira-kira pukul 11 pagi tadi iaitu selepas pulang daripada berkempen di kawasan Machang Bubok.
”Dia (Khai Loon) dilaporkan dalam keadaan stabil ketika ini, Khai Loon mungkin keletihan akibat cuaca panas pagi ini.
“Dia tidak mempunyai penyakit yang serius, dia juga sedang berehat di rumahnya hari ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhammad Bakhtiar, Khai Loon seorang yang kuat bekerja dan beliau difahamkan sejak memulakan kempen pada 29 Julai lepas, Khai Loon telah berkempen dan turun padang untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi di kawasan Machang Bubok.
”Ekoran kejadian ini, kesemua kempen dan program yang dirancang oleh jentera parti untuk Khai Loon terpaksa dibatalkan hari ini,” katanya. – UTUSAN