PRN: Calon Pas Pulau Pinang dinasihat tidak keluarkan kenyataan, elak jadi bahan kempen lawan - Utusan Malaysia

PRN: Calon Pas Pulau Pinang dinasihat tidak keluarkan kenyataan, elak jadi bahan kempen lawan

MUHAMMAD FAUZI Yusoff ketika berkempen secara bersemuka dengan bertemu para pengundi di DUN Sungai Dua pada PRN Pulau Pinang kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Calon-calon Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh memberi impak negatif kepada parti dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh berkempen.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, ini kerana terdapat isu-isu dan perkara yang tidak sepatutnya dihebahkan kepada umum ketika kempen berlangsung.

Dalam masa sama, beliau menafikan wujud halangan untuk calon-calon Pas bertemu wakil media sepanjang tempoh kempen PRN kali ini.

”Tidak ada halangan sebenarnya untuk calon Pas bertemu dan bercakap dengan pihak media. Biasanya ada isu-isu yang kita tidak boleh cakap kepada pihak media, hal yang kita tidak patut cakap, jangan kita cakap.

”Ini kerana kita tidak mahu kenyataan-kenyataan kita (calon Pas) dijadikan bahan kempen oleh pihak lain,” katanya di sini hari ini.

MUHAMMAD FAUZI Yusoff ketika berkempen secara bersemuka dengan bertemu para pengundi di DUN Sungai Dua pada PRN Pulau Pinang kali ini.

Sebelum ini, Pas mengulangi peringatan kepada ahli dan seluruh jentera agar memberi komitmen yang maksimum bagi memastikan kemenangan calon PN pada Pilihan PRN di enam negeri, 12 Ogos ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta ahli dan pemimpin Pas taat serta patuh kepada arahan dikeluarkan terutama oleh Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Jabatan Pilihan Raya Pas.

Muhammad Fauzi yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua berkata, calon-calon Pas di Pulau Pinang juga memberi tumpuan kepada kempen secara bersemuka dengan pengundi di DUN masing-masing.

Katanya, beliau juga menggunakan pendekatan menziarahi pengundi dari rumah ke rumah.

”Kita ziarah terus ke rumah pengundi dan bertemu dengan masyarakat setempat, itu lebih penting pada masa ini.

”Selalunya kita tidak perlu bercerita dengan panjang lebar kepada masyarakat soal isu-isu politik kerana masyarakat sudah celik politik dan faham apa yang berlaku.

”Sekarang, pengundi hanya mahu melihat calon-calon yang bertanding, jadi kita masuk ke kampung-kampung dan perkenalkan diri sebagai calon PN,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, sambutan pengundi terhadap calon-calon PN daripada Pas juga amat menggalakkan dan mereka menerima maklum balas yang positif daripada pengundi yang mahu beralih arah mengundi PN pada PRN kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya