BUTTERWORTH: Calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Prai, Datuk Seri S. Sundarajoo mahu memperkasa penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan jika diberi peluang sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Beliau yang merupakan ahli perniagaan turut berhasrat menarik lebih ramai golongan wanita terutama ibu tunggal menyertai bengkel kemahiran dalam bidang tertentu yang dilihat mampu mengasah minat sekali gus melahirkan usahawan berkemahiran yang berjaya.
“Kaum wanita memerlukan kemahiran dan bekalan ilmu pengetahuan yang mana mana kita nak membentuk mereka supaya boleh berdikari, berkemahiran, berpendidikan dan paling penting mempunyai pendapatan sendiri.
“Jadi, dengan mewujudkan bengkel kemahiran di sini (Perai) secara tidak langsung ia dapat mengasah kemahiran mereka seterusnya melahirkan mereka sebagai usahawan yang mampu menjana pendapatan secara tetap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau menambah, sekiranya berpeluang menjadi wakil rakyat, bantuan yang akan disediakan kepada kaum wanita juga akan menjadi lebih mudah melalui kerajaan negeri yang dilihat begitu komited dalam memperjuangkan hal ehwal pemerkasaan wanita di Pulau Pinang.
“Kalau kita tengok wanita ibu tunggal daripada keluarga B40 ke bawah, pendapatan yang ada itu kebanyakan diguna untuk perbelanjaan harian.
“Mereka perlu ada pendapatan tetap untuk jangka masa yang panjang kerana pada zaman ini, majikan begitu memilih dari segi tenaga buruh, di mana mereka mahukan pekerja yang jauh lebih muda serta kos buruh yang murah berbanding ibu tunggal yang rata-ratanya berusia pertengahan 40 tahun ke atas,” katanya.
Beliau menambah, selain mewujudkan bengkel kemahiran bagi golongan wanita, pihaknya turut berhasrat membangunkan bengkel pendidikan anak-anak daripada keluarga susah supaya keperluan pendidikan mereka lebih terjamin.
“Saya juga berhasrat mengadakan bengkel khusus untuk anak-anak golongan miskin yang mana kita lihat apabila ibu tunggal atau ibu bapa dari keluarga susah keluar mencari nafkah, tumpuan mereka dalam mendidik anak-anak akan terganggu dan ada juga sehingga terlepas pandang,” katanya.
Pada PRN kali ini, Sundarajoo berdepan saingan empat penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), R. Sivasuntaram; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), H. Vikneswary serta David Marshel yang bertanding sebagai calon Bebas menggunakan logo pokok. – UTUSAN