BUTTERWORTH: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Shaikh Hussein Mydin enggan memperkecil kuasa ‘silent voters’ atau pengundi senyap dan pengundi atas pagar yang dilihat mampu memberi impak besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Menurut beliau, kumpulan tersebut kini di dalam mod memerhati dan sedang melakukan penilaian terhadap wakil rakyat di peringkat Parlimen dan calon-calon DUN mengenai keadaan semasa sebelum membuat keputusan pada hari mengundi kelak.
“’Silent voters’ yang kita tahu mereka masih diam dan sedang menilai. Melalui pengamatan kami, jika kita lihat kembali di media sosial khususnya TikTok PN (Perikatan Nasional) pun sudah tidak sama gelombangnya seperti PRU-15 lalu.
“Ke mana mereka semua pergi, sudah tidak nampak pempengaruh yang sebelum ini hebat menyokong PN. Adakah mereka sudah tidak menyokong PN, atau mereka dah jadi pengundi atas pagar?
“Kebanyakannya sudah menjadi ‘silent voters’ dan saya yakin mereka boleh menilai prestasi kerajaan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersama dengan BN dan menilai ahli-ahli Parlimen mereka di 74 kawasan yang mereka sudah menang,” katanya ketika ditemui dalam siri jelajah kempen bersama Belia 4B Negeri Pulau Pinang, di Sungai Lokan, dekat sini semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang berkata, beliau turut merancang mengadakan beberapa pertemuan bersama golongan anak muda terutama penuntut universiti yang dijangka pulang hari ini dan esok untuk mengundi.
“Saya akan mencari ruang untuk dekati dan berjumpa dengan mereka dan ingin menerangkan akujanji kami untuk memastikan mereka kali ini mengundi BN-PH selain ingin meuar-uarkan tentang dasar-dasar Malaysia Madani kepada orang-orang muda di Sungai Dua ini,” katanya sambil menyeru anak muda menunaikan kewajipan demi masa depan mereka kelak.
DUN Sungai Dua bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Shaikh Hussein dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof yang mewakili PN. – UTUSAN