BALIK PULAU: Berbaki 48 jam sebelum tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tamat, calon Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan
melakukan pecutan terakhir bagi menarik sokongan pengundi.
Ahmad Zaki berkata, dalam tempoh singkat sebelum kempen tamat, beliau menumpukan kepada gerak kerja menarik pengundi menggunakan medium media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram.
”Media sosial ini boleh dikatakan antara medium kempen yang berkesan untuk menyampaikan mesej dan misi saya kepada pengundi terutama pengundi muda di DUN Telok Bahang,” katanya di sini hari ini.
Dalam saingan merebut kerusi DUN Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah yang merupakan calon muka baharu gabungan BN-PH akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN), Muhamad Kassim.
Menurut Ahmad Zaki Shah, walaupun menggunakan media sosial untuk berkempen sepanjang tempoh akhir ini, beliau tetap turun bertemu pengundi di lapangan.
”Saya akan berjumpa dengan seramai mungkin pengundi cuma sekarang saya tidak lagi menjalankan ‘walkabout’.
”Pada masa ini, saya lebih menumpukan kepada ceramah kelompok dan masih bertemu pengundi dalam jumlah kecil setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai peluang BN merampas kerusi DUN Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah berkata, maklum balas pengundi yang ditemui pada masa ini bercampur-campur, namun beliau yakin sokongan kepada BN tetap ada.
”Mood pengundi sekarang bercampur, dan disebabkan itu kempen dengan menggunakan pelbagai pendekatan perlu dijalankan untuk menyakinkan mereka mengundi calon-calon PH-BN,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zaki Shah turut menyeru pengundi-pengundi yang tinggal di luar kawasan DUN Telok Bahang pulang melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka pada 12 Ogos ini.
”Proses undi adalah satu perkara penting dan ia adalah satu tanggungjawab serta hak pengundi bagi memilih pemimpin mereka untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN