PRN: Calon Bebas bekas DAP nafi proksi PN, buat SD sokong Kon Yeow - Utusan Malaysia

PRN: Calon Bebas bekas DAP nafi proksi PN, buat SD sokong Kon Yeow

M. SATEES (kanan) dan David Marshel menunjukkan surat akaun bersumpah mereka berkenaan sokongan kepada Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada PRN kali ini dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Dua bekas ahli DAP yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang menafikan mereka menjadi proksi kepada Perikatan Nasional (PN) jika memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

M. Satees yang bertanding di kerusi DUN Bagan Dalam berkata, beliau dan seorang lagi calon iaitu David Marshel (Perai) yang menggunakan logo Pokok ketika berkempen tidak akan sesekali ‘berpaling tadah’ dengan menyokong PN walaupun tidak lagi bersama DAP.

“Pendirian kami tetap. Kami akan terus menyokong Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri untuk tempoh sepenggal lagi (jika menang) dan tidak akan menyokong mana-mana usul untuk meminda Perkara 7 (a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (berkaitan pelantikan Ketua Menteri selama dua penggal).

“Untuk itu juga, kami telah membuat SD atau surat akuan sumpah secara berkanun dan berharap langkah kami ini diikuti oleh calon-calon DAP lain di negeri ini termasuk ’emperor’ (maharaja).

“Ini kerana, sehingga ke hari ini, dia (maharaja) belum menyatakan pendiriannya terhadap sokongan ahli parti yang lain (DAP) untuk mengekalkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang jika menang PRN nanti,” katanya dalam sidang akhbar bersama di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perjalanan kempen sebagai calon Bebas setakat ini pula, kata Marshel, mereka menerima maklum balas yang baik daripada pengundi di kedua-dua DUN.

“Apabila kita turun berkempen sebelum ini, mereka (pengundi) akan berkata: ‘Baiklah. Nanti kami akan sokong.’

“Tapi apabila saya berjumpa mereka beberapa hari lalu, mereka bukan sahaja menyatakan akan memberikan undi, namun dengan jumlahnya sekali seperti: ‘Saya, anak dan cucu akan berikan satu undi kepada anda’.

“Bagi saya, itu satu perkembangan yang sangat positif,” katanya yang bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang pada PRN ini.

Sementara itu, Satees turut sependapat dengan Marshel dan menyifatkan peluang untuk mereka menang tetap ada walaupun mungkin tipis.

“Apapun, kami akan kekal berprinsip dengan terus menyokong Kon Yeow dan Kerajaan Perpaduan pada PRN ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya