PRN: 'Bukan calon luar, saya anak Sabak Bernam' - Cikgu Zaidi - Utusan Malaysia

PRN: ‘Bukan calon luar, saya anak Sabak Bernam’ – Cikgu Zaidi

Zaidi
MOHD. Zaidi Selamat menziarah nenek saudaranya di Kampung Sepintas, Sabak Bernam, Selangor.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Zaidi Selamat menepis dakwaan pihak tertentu mengenai faktor beliau sebagai calon luar bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Sungai Air Tawar.

Isu itu semakin berlegar selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sabak Bernam turut membantah pencalonannya sebelum ini.

Jelas bekas guru dikenali sebagai Cikgu Zaidi itu, beliau merupakan anak kelahiran Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan.

“Namun, Sekinchan masih lagi dalam daerah ini dan tidak sepatutnya menjadi isu untuk saya bertanding.

“Saya juga anak tempatan Selangor dan bukannya calon dari negeri lain selain sudah menabur bakti dalam sektor pendidikan di Sabak Bernam sejak sekian lama,” katanya ketika menziarah nenek saudaranya di Kampung Sepintas.

Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan Ketua Bersatu Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh memaklumkan keputusan sebulat suara membantah pencalonan Zaidi yang juga daripada parti sama.

Ia berikutan faktor calon luar dan diminta supaya menarik diri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam pada itu, Zaidi berkata, semua jentera Bersatu dan Pas kini giat menjalankan kempen yang memasuki ‘gear’ empat di DUN tersebut.

“Saya setakat ini sudah menyantuni lebih 100 rumah penduduk dalam menyampaikan hasrat dan visi kita. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan fokus kita adalah memenangkan PN dalam pilihan raya kali ini,” ujarnya.

Zaidi, 54, menentang penyandang kerusi DUN itu, Datuk Rizam Ismail daripada Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Rizam memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,440 undi selepas menewaskan calon Pas, Zamri Yahya dan Mohd. Hamizar Sulaiman (Bersatu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya