KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan yakin parti itu mampu memenangi sekurang-kurangnya 16 kerusi pada pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Setiausahanya, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad berkata, pada masa sama pihaknya turut yakin mampu mengekalkan lapan kerusi yang dimenangi oleh parti itu sebelum ini.
“Jumlah 16 kerusi itu termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor (Ketereh) dan Jelawat (Bachok),” katanya pada semasa sidang media PRN BN-Pakatan Harapan (PH) di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.
Md. Alwi memberitahu, BN turut berharap PH mampu menang sekurang-kurangnya tujuh daripada 14 kerusi yang ditandingi parti itu.
Katanya, kemenangan tujuh kerusi PH itu mampu mencukupkan kerusi bagi membentuk kerajaan selepas 12 Ogos ini.
Pada PRN kali ini BN bertanding di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH.-UTUSAN