BUTTERWORTH: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat sedikit suram berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seorang peniaga yang juga pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar, Hasni Saad, 58, berkata, ‘kesuraman’ itu mungkin disebabkan ada dalam kalangan pengundi tidak pulang mengundi di kawasan masing-masing.
“Melalui pengamatan saya, memang nampak ketaralah (kehadiran pengundi) di sini. Kalau sebelum ini (PRU-15) saya dah boleh nampak orang ramai berpusu-pusu keluar mengundi. Jalan pun sesak sejak awal pagi.
“Tapi hari ini agak suram. Mungkin ada pengundi tidak balik (mengundi) atau mungkin ada yang memilih keluar mengundi lewat sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang anak perantau dari Kuala Lumpur, Muhammad Ridzuan Rosli, 31, berkata, suasana di tempat mengundi juga lebih tenang, malah proses mengundi turut tidak mengambil masa lama.
“Jika masa PRU-15, proses mengundi memakan masa sehingga setengah jam, namun kali ini prosesnya tidak sampai 10 minit.
“Keadaan lalu lintas pun tidaklah sesibuk seperti PRU sebelum ini. Mungkin ada (pengundi) yang mengatur masa untuk keluar mengundi bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas,” katanya yang sudah melakukan tanggungjawab sebagai pengundi di kawasan DUN Telok Ayer Tawar sebanyak tiga kali. – UTUSAN