PRN: Anwar gesa pengundi tidak bertangguh, keluar mengundi awal - Utusan Malaysia

PRN: Anwar gesa pengundi tidak bertangguh, keluar mengundi awal

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan seorang penduduk selepas mengundi bagi PRN DUN Permatang Pasir di SK Seri Penanti, Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penduduk di enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) melaksanakan tanggungjawab mengundi masing-masing hari ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga berharap para pengundi di enam negeri terbabit tidak bertangguh dan keluar awal untuk melaksanakan tanggungjawab terbabit.

“Daripada pemantauan kita setakat ini, suasana di keenam-enam negeri berada dalam keadaan baik dan tenang, Alhamdulillah.

“Saya minta pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Musim kempen sudah selesai, jadi kembali bersilaturrahim.

“Mengundi dengan aman, harap keluar awal dan jangan tangguh tanggungjawab untuk mengundi lebih awal.

“Saya akan pantau begitu sahaja, saya tidak tumpu mana-mana tempat secara khusus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selesai mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, di sini kira-kira pukul 9.40 pagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, meskipun enam negeri mengadakan PRN hari ini, namun Kerajaan Persekutuan akan berfungsi dan berjalan seperti biasa.

“Ini PRN, tugas Kerajaan Persekutuan akan berjalan seperti biasa. Kita akan meneruskan kerja mulai esok. Keputusan (PRN) akan menentukan kepemimpinan kerajaan negeri yang baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya