PRN: Ahli UMNO tidak akan undi PN - Utusan Malaysia

PRN: Ahli UMNO tidak akan undi PN

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) beramah mesra bersama kakitangan hospital selepas merasmikan Pengoperasian Klinik Pakar Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) di Kampung Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin ahli parti berkenaan tidak akan mengundi Perikatan Nasional (PN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Menurut beliau, ahli UMNO juga tidak mungkin berpaling tadah atau terpengaruh dengan usaha PN yang dilihat mahu memburukkan pimpinan tertinggi parti tersebut.

“Dalam tempoh berkempen ini, ramai bercakap perkara-perkara yang tidak wajar dan tidak rasional. Namun saya tetap percaya ahli UMNO akan terus kekal setia bersama parti.

“Lebih-lebih lagi kita (UMNO) berada dalam kerajaan perpaduan bagi memastikan perpaduan yang lebih besar dalam negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit Luar HPUniSZA,  di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meminta ahli UMNO menyokong PN dalam PRN jika mereka sayangkan UMNO.

Hamzah pada Sabtu dilaporkan berkata, dengan cara itu sahaja dapat menyelamatkan masa depan UMNO sekali gus membolehkan parti tersebut diterima semula oleh rakyat.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menjelaskan, tidak timbul isu undi protes daripada ahli UMNO terhadap Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam suasana rakyat berbilang kaum, mana-mana pihak tidak boleh bergerak solo. Jadi atas asas itu, kita harap rakyat tidak terlalu taksub dan lebih bersederhana dalam berparti.

“Apa pun saya yakin ahli UMNO setia bersama parti di bawah pimpinan Presiden,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN