SEPANG: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui mempunyai kelebihan untuk kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, namun ia bukan tiket untuk terlalu selesa.
Menurutnya, beliau yakin akan mendapat sokongan majoriti pengundi kerana sudah menabur bakti di DUN itu selama 15 tahun.
“Mungkin saya ada sedikit kelebihan kerana rakyat sudah agak kenal saya di sana, namun dalam kalangan pengundi muda mereka mungkin baru kenal,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Hak Milik Individu Taman Putra Perdana di Dewan Komuniti Putra Perdana, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau sudah menggandakan gerak kerja kempennya bagi meraih sokongan pengundi pada semua peringkat, terutama pengundi muda.
Amirudin berkata, gerak kerja kempen akan diteruskan dan beliau yakin masih mendapat sokongan, namun ia tidak perlu diambil mudah.
“Pada masa sama, saya juga harus membantu rakan-rakan (calon) kita yang lain,” katanya.
Amirudin dijangka mempertahankan kubu kuatnya itu selepas berjaya memenangi kerusi itu tiga penggal berturut-turut sejak 2008.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Amirudin dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal. – UTUSAN