PRN: 8 teras, 33 tawaran dalam manifesto PN Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: 8 teras, 33 tawaran dalam manifesto PN Pulau Pinang

DOMINIC Lau (dua dari kiri) bersama barisan pemimpin parti komponen PN Pulau Pinang pada majlis pelancaran manifesto PN bagi PRN Pulau Pinang di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang menawarkan lapan teras utama dengan 33 manifesto yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Bertemakan ‘Better Penang, Jom Kalih’, lapan teras utama dalam manifesto PN Pulau Pinang yang mengunjurkan ciri-ciri tatakelola pragmatik dan holistik itu antaranya memacu keutuhan ekonomi dan menangani kos sara hidup, meningkatkan akses pemilikan rumah dan memperkukuh jaringan pengangkutan di negeri ini.

Menurut Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau, antara inisiatif yang ditawarkan kepada penduduk adalah membina rumah rakyat Pulau Pinang dengan harga di bawah RM100,000.

“Isu pemilikan rumah antara isu besar yang dihadapi penduduk dan untuk itu, kita turut akan mengehadkan kenaikan kadar sewa perumahan kerajaan.

“Kita juga akan mewujudkan kuota perumahan mesra komuniti setempat bagi mencapai visi satu keluarga, satu rumah buat penduduk negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran manifesto PN Pulau Pinang itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, inisiatif lain ialah menubuhkan Pusat Kesejahteraan Mutiara yang akan menyediakan perkhidmatan dialisis, rehabilitasi, dan pusat kesihatan mental di setiap daerah melalui kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita juga prihatin terhadap kesihatan setiap anak Pulau Pinang, oleh itu kami akan menyediakan ujian pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengurangkan beban rakyat dan meningkatkan taraf kesihatan negeri.

“Selain itu, Bantuan Mutiara Prihatin sebanyak RM60 juta akan mensasarkan warga emas, ibu tunggal, golongan orang kurang upaya (OKU), pemandu teksi serta pemandu bas sekolah,” katanya.

Tambahnya, Pulau Pinang dikenali sebagai salah satu destinasi utama ‘food hunting’ di negara ini dan PN akan mewujudkan dan melaksanakan Dasar Mesra sektor penjajaan makanan.

“Fi lesen penjaja kecil yang terlibat juga akan dikecualikan bagi memastikan usaha negeri ini sebagai peneraju hab pelancongan makanan bertaraf antarabangsa dapat dijayakan,” katanya.

Di Pulau Pinang, Gerakan mendominasi senarai calon dengan bertanding di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing tujuh kerusi; Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) (3) dan Bersatu-Bersekutu (4). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya