PRN: 5,776 pegawai dan anggota polis bertugas di seluruh Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PRN: 5,776 pegawai dan anggota polis bertugas di seluruh Pulau Pinang

W. PUSPHANATHAN (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang menunjukkan antara kesalahan-kesalahan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semasa kempen PRN di Pulau Pinang berlangsung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menggerakkan sejumlah 5,776 pegawai dan anggota bagi memastikan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung dengan lancar esok.

Jurucakap Media PRN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komissioner, W. Pusphanathan berkata, penugasan anggota dan pegawai berkenaan meliputi kawalan keselamatan serta lalu lintas di 334 pusat mengundi melalui 2,138 saluran di Pulau Pinang.

”Sejak penamaan calon dan tempoh berkempen sehingga kini, penugasan PDRM Kontinjen Pulau Pinang diatur gerak pada tahap terbaik dan bersiap sedia dengan kekuatan yang mencukupi bagi menghadapi PRN,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh 29 Julai hingga semalam, sebanyak 40 laporan polis diterima dan 18 kertas siasatan serta satu kertas enkuiri polis (KEP) dibuka meliputi pelbagai kesalahan.

Antaranya, kata beliau, sembilan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan merosakkan bahan-bahan kempen seperti bendera dan banner parti.

”Satu kes disiasat di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membabitkan isu 3R berkaitan artikel yang dimuat naik sebuah portal.

“Lima kes dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan / Seksyen 233 Akta Multi Media berkaitan fitnah terhadap calon parti bertanding dalam media sosial TikTok dan satu kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan curi bendera serta banner,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, satu KEP dibuka adalah berkaitan aduan tidak berpuas hati berkenaan artikel di media sosial.

”Satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 24 B (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1956 iaitu larangan memasang bendera parti dalam jarak 50 meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi.

”Satu kes disiasat di bawah Seksyen 4A (1) AKPR/ Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan membabitkan isu 3R yang dilaporkan pada 9 Ogos lalu berkaitan artikel yang diterbitkan sebuah portal bertajuk ‘Kerana DAP lah yang memecahbelahkan kaum dalam negara kita’, kes ini disiasat oleh USJT Bukit Aman,” katanya.

Tambahnya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa bakal berlaku perhimpunan besar-besaran di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dekat sini, selepas keputusan PRN diumumkan, Pusphanathan berkata, setakat ini polis tidak mendapat maklumat mengenai perkara berkenaan.

”Aktiviti di Komtar berjalan lancar, setakat ini polis menjalankan tugas seperti kawalan trafik dan keselamatan agar kerja harian masyarakat tidak terganggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya