KUALA SELANGOR: Lebih 200 anak muda menyatakan sokongan kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.09 Permatang, Nurul Syazwani Noh dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Borang keahlian mereka diserahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Tanjong Karang di sini, malam tadi.
Wakil anak muda itu, Azree Husin, 36, berkata kesemua mereka terdiri daripada penduduk DUN berkenaan termasuk Kampung Bestari Jaya dan Kampung Bukit Belimbing membuat keputusan itu kerana yakin suara generasi belia dapat diperjuangkan Nurul bukan saja di Permatang, bahkan di Tanjong Karang.
“Anak muda cuma mahu suara didengari wakil rakyat terutama melibatkan soal kebajikan dan peluang pekerjaan. Kami tidak mahu terus dimomokkan dengan senario politik caca merba dan hanya mahu pentadbiran kerajaan yang lebih stabil,” katanya.
Bagi Mohd Faizal Othman, 41, lebih ramai belia akan turut menyertai PN di seluruh DUN berkenaan.
“Kami bertekad mahu membantu jentera Nurul semaksimum mungkin bagi memastikan kerusi itu dirampas daripada pihak lawan.
“Selain itu, kami menggunakan pelbagai platform media sosial untuk membantu kempen menarik undi anak muda,” ujarnya.
Sementara itu, Nurul Syazwani yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu Tanjong Karang terharu dengan sokongan berkenaan yang disifatkan sebagai kebangkitan gelombang anak muda. – UTUSAN