JOHOR BAHRU: Pusat kecantikan yang membuat rawatan pembesaran payudara seorang suri rumah sehingga maut di premis kediaman, Taman Mutiara Rini, Skudai dekat sini kini kosong.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pintu dan tingkap rumah tersebut ditutup rapi dengan terdapat sebuah kenderaan berwarna merah di tempat letak kenderaan.
Turut kelihatan beberapa kasut dan selipar di hadapan pintu kediaman berkenaan.
Walaupun loceng rumah ditekan beberapa kali, namun, tiada mana-mana pihak yang tampil keluar daripada kediaman berkenaan.
Difahamkan, pengawal keselamatan taman perumahan tersebut turut menghalang mana-mana pihak yang memberikan alasan mahu ke kediaman itu untuk membuat rawatan kecantikan.
Terdahulu, seorang suri rumah maut selepas menjalani prosedur membesarkan payudara di premis berkenaan pada 29 Julai lalu.
Menurut suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 35, isterinya, Tan Wei Shan, 29 mula berasa tidak sihat dan pening kepala selepas menjalani prosedur berkenaan.
“Dia mengadu berasa sakit dan bengkak di bahagian dadanya. Petang esoknya, isteri saya mengunjungi sebuah klinik sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan sekitar pukul 7 malam.
“Akibat sakit yang dialami, dia dilaporkan meninggal dunia pada pukul 7 malam, 2 Ogos lalu,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN