PETALING JAYA: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah berjaya mengorak langkah berwawasan negara ini dalam mengukuhkan aksesibiliti dan kualiti, kesaksamaan, perpaduan serta kecekapan dalam pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Azril Mohd. Amin berkata, pelan induk itu telah menggariskan kerangka luar biasa untuk sektor pendidikan Malaysia sekali gus membentuk masa depan yang lebih cerah demi generasi akan datang.
Kata beliau, pihaknya berbangga dengan kejayaan sedekad PPPM 2013-2025 apabila Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan yang dilancarkan semalam merekodkan kejayaan cemerlang pelan induk pendidikan tersebut sejak pelaksanaannya pada 2013.
“Perjalanan pelaksanaan pelan pembangunan tersebut yang terkandung dalam laporan tahunan terkini dan Gallery Walk mencerminkan kecekalan dan inovasi mampan yang boleh menjadi ikutan dalam mengatasi segala bentuk rintangan dan halangan.
“Penilaian setiap laporan tahunan dari 2013 hingga 2022 jelas membuktikan 10 tahun pelaksanaan PPPM telah menghasilkan kejayaan yang cukup bermakna sejak pelancarannya oleh bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September 2013,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan 2022 dilancarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor semalam memaparkan pencapaian PPPM menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan dan kejayaan serta peningkatan prestasi pelajar, penyempurnaan latihan guru sehingga kelancaran perjalanan integrasi teknologi dalam bilik darjah apabila impaknya dirasai merentasi semua peringkat.
Pada masa sama, Azril berkata, sebalik kejayaan itu, jangan sesekali melupakan peranan penting dimainkan Muhyiddin merangkap Perdana Menteri kelapan apabila kepemimpinannya cemerlang dan berwawasan jelas terbukti melalui penyediaan kerangka pembangunan pendidikan asas yang transformatif ini.
“Jelas, dedikasi dan komitmen Muhyiddin telah membuka jalan kepada penghasilan rancangan komprehensif ini yang telah menyaksikan kejayaan transformasi pendidikan sepanjang sedekad lalu.
“Di saat kita melangkah ke tahun seterusnya, Kami komited untuk meneruskan legasi kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin. Melalui kerjasama dan inovasi berterusan, kita yakin bahawa asas dan visi yang diilhamkan beliau akan membawa kita ke arah landskap pendidikan yang lebih bermakna dan berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN