Polis tahan lelaki pukul peminjam wang sehingga cedera - Utusan Malaysia

Polis tahan lelaki pukul peminjam wang sehingga cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menahan seorang daripada tiga lelaki yang disyaki memukul seorang individu lain sehingga cedera di sebuah kafe di Sitiawan kira-kira tujuh hari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, suspek yang berumur 40 tahun ditahan kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

“Aduan mengenai kejadian tersebut sebelum ini dibuat oleh adik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 12.04 tengah malam pada 30 Julai lalu.

“Dalam laporan itu, mangsa dikatakan telah dipukul oleh tiga lelaki di sebuah kafe di Sitiawan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berumur 37 tahun didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, dibawa ke Hospital Pantai Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jelasnya, punca kejadian adalah dipercayai kerana mangsa mempunyai hutang yang masih belum dilunaskan.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda serta sebatan.

Beliau menjelaskan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Mohamed Nordin juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor N. Ravinthiran di talian 019-6508489 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya