Polis tahan dua suspek letupan objek di hadapan sekolah, tiada unsur keganasan - Utusan Malaysia

Polis tahan dua suspek letupan objek di hadapan sekolah, tiada unsur keganasan

ANGGOTA polis menjalankan siasatan berhubung kes letupan objek di sebuah sekolah sekitar Padang Besar, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis telah dua menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes letupan objek di hadapan sebuah sekolah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek pertama yang merupakan seorang lelaki warga tempatan telah ditahan di rumahnya di sini sekitar pukul 5.30 petang.

Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek berusia 42 tahun itu mempunyai sembilan rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek tersebut adalah positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shokri berkata, susulan siasatan dijalankan, polis turut melakukan penahanan ke atas suspek kedua yang merupakan lelaki warga tempatan di kediamannya sekitar Padang Besar sekitar pukul 11 pagi hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 30 tahun jtu mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kesalahan narkotik dan turut positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil soal siasat mendapati suspek pertama mengaku penglibatannya dalam kes itu manakala suspek kedua pula turut bersama di lokasi sewaktu kejadian berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shokri berkata, pihaknya akan melakukan permohonan reman ke atas suspek berkenaan bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama 14 tahun dan didenda.

“Setakat ini kejadian tersebut tidak melibatkan unsur keganasan memandangkan letupan yang berlaku hanya kecil sahaja.

“Melalui penahanan ini, Polis Padang Besar berjaya menyelesaikan kes tangkapan pertama hanya dalam tempoh 12 jam,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan mengenai kejadian letupan satu objek di hadapan sebuah sekolah di sini sekitar pukul 7.30 pagi.

Kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang ramai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN