Polis siasat video tular babitkan wanita dipukul - Utusan Malaysia

Polis siasat video tular babitkan wanita dipukul

SOFFIAN SANTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis sedang menyiasat insiden yang tular di media sosial membabitkan seorang wanita yang dipukul oleh beberapa individu di tangga.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, video tular berkenaan telah dimuat naik di akaun Facebook ‘Whyman Whyman’.

”Pada 30 Julai lalu, kira-kira pukul 10 malam, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berumur 51 tahun.

”Lelaki berkenaan menyatakan perempuan yang dipukul dalam video tular berkenaan merupakan anaknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, mangsa berumur 24 tahun telah keluar dari rumahnya di kawasan George Town pada Disember lalu kerana masalah keluarga.

”Sejak dari itu mangsa tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarganya.

”Sehingga kini, tidak dapat dipastikan lokasi kejadian yang berlaku,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (kesalahan penggunaan perkhidmatan rangkaian).

”Polis juga menasihatkan orang ramai tidak menularkan rakaman video berkenaan untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

”Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke IPD Timur Laut untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya