Polis siasat secara telus kes suspek mati dalam lokap

Polis siasat secara telus kes suspek mati dalam lokap

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menjalankan siasatan berhubung kematian seorang suspek kes dadah di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini dipercayai akibat bunuh diri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi apabila lelaki berusia 51 tahun itu ditemukan menggantung diri dalam lokap berkenaan.

“Orang kena tuduh berkenaan direman selama tujuh hari bermula 4 Ogos sehingga 10 Ogos di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

“Pihak koroner hadir ke tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Tambah beliau, ekoran daripada kejadian tersebut, siasatan dijalankan di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM) oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman. 

“Sebagai langkah awal, semua anggota yang bertugas semasa kejadian akan dipindahkan sementara ke cawangan lain sehingga siasatan selesai. Siasatan juga akan memastikan semua arahan pentadbiran berkaitan lokap dan Kaedah-Kaedah Lokap 1953 dipatuhi. Polis akan memastikan siasatan secara telus dan adil kerana ia melibatkan kepentingan awam,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 6,839 pegawai dan anggota polis beserta pasangan masing-masing melaksanakan tanggungjawab membuang undi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini di seluruh Kedah.

Fisol berkata, jumlah itu membabitkan 710 pegawai dan 5,976 anggota di empat saluran mengundi termasuk sebanyak 153 pengundi dalam kalangan isteri anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Kayu Hitam dan Kulim.

“Daripada jumlah itu, seramai 875 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah membuang undi di IPK Kedah. Sehingga sekarang perjalanan proses membuang undi berjalan lancar,“ katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN