IPOH: Seorang pekerja sebuah syarikat terkejut apabila mendapati terdapat lubang dan retakan pada cermin kaca pejabat dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Jalan Sultan Iskandar di sini hari ini.
Kejadian tersebut disedari lelaki berusia 59 tahun itu ketika tiba di pejabat pada pukul 7.30 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku semalam pada pukul 8.17 malam.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan satu lubang berdiameter lebih kurang lapan milimeter (mm) dan retakan pada cermin sebelah kanan pintu pejabat.
“Pemeriksaan oleh pasukan siasatan forensik kontinjen Perak di lokasi bagaimanapun tidak menjumpai sebarang objek yang menyebabkan lubang dan retakan pada cermin tersebut.
“Polis mengesyaki kerosakan itu adalah kesan akibat terkena bebola keluli. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan ekoran kejadian itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kerosakan cermin kaca itu menyebabkan pihak syarikat terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,000.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan daripada pelbagai sudut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. Sebarang spekulasi perlu dielakkan supaya tidak menjejaskan siasatan kes,” katanya. – UTUSAN