PADANG BESAR: Taktik sindiket pengedaran air ketum yang berselindung disebalik khemah dalam kawasan semak untuk memasak dan membungkus barangan terlarang itu terbongkar menerusi serbuan dilakukan polis sekitar Kampung Guar Musang, Chuping, Selasa lalu.
Menerusi serbuan pada pukul 4 petang itu, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menemukan 18 beg plastik hitam yang didalamnya mengandungi 360 bungkusan dipercayai air ketum.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian itu hanya terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama dan terlindung dengan semak samun.
“Suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun itu juga mengaku bekerja dengan seorang lagi lelaki warga tempatan dan menerima upah RM80 sehari untuk memasak serta membungkus air ketum itu sebelum dijual kepada pelanggan,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shokri berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memasak dan membungkus air ketum berkenaan di khemah tersebut lalu akan diambil oleh pekerja lain untuk dihantar kepada pelanggan yang membuat tempahan.
Katanya, nilai air ketum terlibat adalah dianggarkan berjumlah RM1,800 dan semua rampasan bersama tahanan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar untuk tindakan lanjut.
“Suspek ditahan reman selama tiga bermula 9 Ogos sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes tersebut.
“Selain itu, ujian saringan awal air kencing suspek juga adalah negatif dadah,” katanya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Pindaan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit salah boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.
“Polis Padang Besar memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam kegiatan penyudupan dan penjualan air ketum sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya.-UTUSAN