IPOH: Polis menafikan dakwaan seorang lelaki dipukul dan dikasari oleh anggota dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Jelapang di sini, seperti yang tular dalam media sosial, Twitter.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan sengaja disensasikan bagi memberi imej tidak baik kepada pasukan polis.
“Ibu dan bapa kepada lelaki berusia 23 tahun yang dikenakan lima saman atas kesalahan trafik itu, datang ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan anaknya.
“Bapa lelaki itu yang pada mulanya menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan polis ke atas anaknya, bagaimanapun meminta maaf sebelum dia diberi amaran.
“Dalam operasi itu, lelaki terbabit dikenakan tindakan saman kerana tiada lesen, motosikal yang digunakan tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi selain ubah suai ekzos dan aksesori tidak sempurna pada kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu dijalankan bermula pukul 3 hingga 6 pagi, hari ini.
Katanya, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 27 buah motosikal dan 32 individu diperiksa dengan 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Dalam operasi ini, sebuah motosikal disita kerana terlibat lumba haram dan seorang lelaki warga Thailand berusia 19 tahun pula ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 22 saat di laman sosial Twittter yang memaparkan kekecohan di lokasi operasi di mana menerusi komen yang ditinggalkan mendakwa seorang lelaki dipukul polis. – UTUSAN